Program Mari Mengaji, atau dahulunya dikenali sebagai Program Tadarrus Harian adalah program mengaji Al Quran bermula Juz 1 sehingga 30, yakni membaca sehingga khatam, dibimbing oleh guru-guru di Bayt Al Furqan. Seramai 9 orang guru tetap dan 2 orang guru ganti terlibat dalam program ini, inshaaAllah.
Setakat Ogos 2025, Bayt Al Furqan telah pun menjalankan program mengaji ini untuk kali ke-10 dan ianya khusus buat kaum Muslimat sahaja. Namun bermula pada 27 September 2024, Bayt Al Furqan turut menjalankan program mengaji khusus Muslimin juga.
Program ini berjalan setiap hari Isnin hingga Jumaat bagi Muslimat dan pada hari Jumaat sahaja bagi Muslimin pada jam 9:00-10:00pm. Peserta dibahagikan mengikut kumpulan dan setiap kumpulan membaca sebanyak lebih kurang 8-12 muka surat dalam setiap sesi. Program ini menggunakan platform Zoom. Seorang guru bertugas akan membimbing bacaan setiap peserta dengan cara mendengar dan menegur kesalahan bila perlu.
Matlamat Bayt Al Furqan mengadakan program ini adalah untuk mengajak orang ramai mengaji Al Quran bersama guru. Ia bukan hanya untuk mengajak keluarga Bayt Al Furqan mengisi masa dengan membaca Al Quran sehingga khatam, tetapi juga bertujuan untuk membantu sama-sama memperelokkan bacaan Al Quran, dibimbing oleh guru-guru, kerana Allah.
Bayt Al Furqan tidak mengenakan sebarang yuran untuk menyertai program ini, namun infaq seikhlas hati daripada para peserta secara tetap sangat dialu-alukan.
Harapan kami di Bayt Al Furqan adalah semoga para peserta:
dapat hadir pada hari-hari yang ditetapkan bagi kaum Muslimat.
dapat hadir pada hari Jumaat bagi kaum Muslimin.
dapat membaca Al Quran dengan cermat dan tidak tergesa-gesa,
dapat sama-sama mendengar dan menyemak bacaan sahabat-sahabat yang lain,
dapat belajar daripada teguran guru-guru sama ada kepada diri sendiri atau sahabat yang lain, dan
dapat memperbaiki bacaan sedikit demi sedikit.
Pasang (Install) Aplikasi Zoom, sama ada dalam telefon bimbit atau komputer.
Buka Zoom, wujudkan akaun pengguna, jika belum ada.
Klik link yang akan diberi sebelum kelas bermula.
Login masuk akaun Zoom, isikan maklumat yang diminta seperti meeting passcode (akan diberi dalam mesej).
Klik icon kecil Breakout Rooms dan pilih breakout room masing-masing mengikut kumpulan tadarrus.
Adab ketika bertadarrus secara online
Beberapa perkara perlu dipatuhi oleh peserta:
Usaha untuk masuk pada masa yang ditetapkan.
Masuk Zoom dan pastikan terlebih dahulu kamera dan mikrofon ditutup.
Buka mikrofon untuk membaca atau jika perlu memaklumkan kesalahan pada bacaan peserta sahaja.
Jika ingin membuka kamera, pastikan peserta membelakangkan dinding supaya tiada ahli keluarga yang lalu lalang di belakang peserta.
Seelok-eloknya peserta bersama-sama mendengar bacaan dan teguran guru-guru kepada peserta lain.
Bertanggungjawab mengetahui giliran masing-masing dan inshaAllah akan dibantu oleh ahli-ahli kumpulan (senarai giliran akan dimaklumkan dalam mesej).
Jika ada urusan lain, harap boleh keluar Zoom terlebih dahulu dan kemudian masuk semula setelah urusan selesai atau maklumkan kepada sahabat di dalam ruang chat Zoom.
Gunakan ruang chat untuk kongsi maklumat penting seperti nombor muka surat supaya tidak mengganggu peserta lain yang sedang membaca.
Tatacara guru
Beberapa perkara perlu difahami oleh peserta berkenaan tatacara guru:
Teguran guru adalah mengikut tahap peserta. Peserta yang sudah lancar tetapi masih ada ruang untuk memperbaiki bacaan akan ditegur di tempat-tempat tertentu. Namun begitu, guru mungkin tidak menekankan perkara yang sama kepada peserta yang lain yang belum dapat mempraktikkan hukum-hukum asas.
Tidak semua kelemahan akan ditegur pada setiap masa melainkan kesalahan-kesalahan besar yang melibatkan kesalahan huruf dan lain-lain kesalahan yang boleh menukar maksud ayat suci Al Quran.
Guru mengharapkan peserta berhati-hati membaca dan mempraktikkan apa yang telah dipelajari daripada teguran guru.
Peserta yang belum lancar diminta membaca secara perlahan-perlahan kerana masih belajar.
Semua peserta seelok-eloknya mencatitkan setiap teguran daripada guru-guru dan cuba memperbaikinya sedikit demi sedikit.
Tips untuk memperbaiki bacaan apabila berkelapangan:
Pilih surah yang selalu dibaca seperti surah Al Mulk.
Dengarkan bacaan surah Al Mulk di YouTube beberapa kali (link YouTube di bawah).
Beri perhatian lebih kepada perkara-perkara yang biasa ditegur oleh guru.
Kemudian baca bersama Qari tersebut beberapa kali sehingga dapat:
mengikut tempoh harakat hukum-hukum,
menyebut huruf-huruf dengan jelas dan dapat membezakan, misalnya
,أ-ع, ح-ه, ت-ط,
,ذ-ز, د-ض, ك-ق
ص-س, س-ث, س-ش
menyebut huruf-huruf tebal dengan baik,
dan sebagainya, InshaAllah.
Ulang latihan membaca surah Al Mulk bersama Qari tersebut (ketika membacanya setiap malam).
Cuba rakam suara sendiri ketika membaca surah Al Mulk (tanpa Qari) dan dengarkan semula dengan teliti.
Boleh rujuk guru-guru jika kurang pasti. Mesej secara individu.
Semoga kita semua istiqomah dan bersemangat untuk membaca Al Quran.
Berikut adalah link bacaan surah Al Mulk sebagai rujukan.
Surah Al Mulk - Sheikha Dr Zainab Talha
Kami membuka peluang kepada sesiapa sahaja, terutamanya kepada para peserta Program Mari Mengaji, untuk mengeluarkan infaq seikhlas hati kepada Bayt Al Furqan.
Semoga program ini dapat dijalankan secara berterusan dengan sokongan semua peserta dan guru, inshaAllah.
Berikut adalah QR Code akaun Bayt Al Furqan. Gunakan rujukan "infaqtadarrus". Jazakumullahu khairan.
Penyertaan adalah terbuka kepada sesiapa yang memenuhi syarat-syarat penyertaan. Kami akan membuat pemilihan peserta dan pembahagian kumpulan dan keputusan adalah muktamad.
✔ Kumpulan Wanita
Penyertaan adalah terhad kepada 48 orang peserta sahaja.
Penyertaan adalah terbuka kepada semua yang memenuhi syarat-syarat berikut:
Peserta adalah wanita dewasa sahaja (21 tahun dan ke atas).
Peserta boleh membaca Al Quran.
Peserta tahu serba sedikit hukum asas tajwid.
Peserta boleh istiqomah hadir pada setiap hari.
✔ Kumpulan Lelaki
Penyertaan adalah terhad kepada 15 orang peserta sahaja.
Penyertaan adalah terbuka kepada semua yang memenuhi syarat-syarat berikut:
Peserta adalah Muslimin dewasa sahaja (21 tahun dan ke atas).
Peserta boleh membaca Al Quran.
Peserta tahu serba sedikit hukum asas tajwid.
Peserta boleh istiqomah hadir pada setiap hari Jumaat.
Tekan butang di bawah untuk mendaftar.
(Nota: Borang hanya boleh diisi sekali sahaja. Tidak boleh daftar bagi pihak orang lain. Namun begitu, peserta yang berminat boleh meminta bantuan daripada keluarga, inshaAllah.)
Tekan butang di bawah untuk sebarang pertanyaan.
Semoga Allah Taala kurniakan kita semua taufiq dan hidayah, serta jadikan kita semua daripada golongan yang dikatakan di dalam hadith ini:
روى الترمذي (2914) وأبو داود (1464) واللفظ له ، عن عبد الله بن عمرو رضي الله عنهما قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ( يُقَالُ لِصَاحِبِ الْقُرْآنِ : اقْرَأْ وَارْتَقِ وَرَتِّلْ ، كَمَا كُنْتَ تُرَتِّلُ فِي الدُّنْيَا ، فَإِنَّ مَنْزِلَكَ عِنْدَ آخِرِ آيَةٍ تَقْرَؤُهَا )
Maksud hadith riwayat Tirmidhi & Abu Dawud itu, sabda Rasulullah (saw): Dikatakan kepada orang yang membaca (menghafalkan) al-Qur’an nanti, "Bacalah dan naiklah serta tartillah sebagaimana engkau di dunia mentartilnya! Karena kedudukanmu adalah pada akhir ayat yang engkau baca (hafal)".